Bapa sayu, mayat Nur Damia ditemukan

MAYAT seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang terjatuh ke dalam alur sungai di Kampung Petai Dusun, Rantau Panjang ketika bermain banjir, akhirnya ditemukan pagi Selasa.

Mayat Nur Damia Qaisara Mohd Sabre ditemukan kira-kira pukul 7 pagi di kawasan kebun kelapa sawit, kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi kejadian.

Bapa kepada mangsa iaitu Mohd Sabri Mohd Noor, 33, berkata kakinya berasa longlai ketika anggota penyelamat memaklumkan mengenai penemuan anaknya.

“Alhamdulillah, jasad anak saya ditemukan walaupun dalam keadaan sudah tidak bernyawa lagi,” katanya memetik Harian Metro.

Pada Ahad, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia akibat lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam alur sungai.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Siti Aisyah Mazi manakala rakan mangsa, Nur Damia Qaisara dikhuatiri lemas.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata, mangsa kedua ditemukan kira-kira 8 pagi pada jarak 100 meter dari kawasan mangsa pertama, Siti Aisyah, ditemukan.

Beliau memberitahu, pihaknya dalam proses membawa jenazah keluar untuk diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke unit forensik Hospital Tanah Merah (HTM) bagi tujuan bedah siasat.

7 Comments

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *