Baru 16 tahun tapi dah ada lesen bawa kapal terbang, rupanya bukan calang-calang pendidikannya

Sementara rakan-rakan sebaya sibuk memilih institusi untuk meneruskan pembelajaran selepas peperiksaan, M

ohd Anaqi Mohd Rizal telah menetapkan matlamat yang jelas untuk masa depannya. Pemuda ini bercita-cita untuk ‘terbang tinggi’.

Hanya sebentar selepas menamatkan peperiksaan GCE ‘O’, Mohd Anaqi telah meraih gelaran juruterbang.

Ini bermakna, pada usia 16 tahun, beliau telah mendapat lesen untuk menjadi juruterbang, yang mana lebih awal daripada usia sah untuk mendapatkan lesen memandu!

Lesen yang diperolehi pada 2023 oleh Mohd Anaqi adalah lesen juruterbang rekreasi.

PUAS DENGAR BUNYI ENJIN PESAWAT

Walaupun minatnya terhadap kapal terbang bermula sejak kecil, Anaqi awalnya tidak bercita-cita untuk menjadi juruterbang. Walau bagaimanapun, semasa bercuti bersama ibu bapanya ke Hong Kong pada usia 10 tahun, mereka menaiki pesawat Singapore Airlines.

Semasa penerbangan itu, Mohd Anaqi terkagum-kagum dengan bahagian-bahagian pesawat seperti ‘spoiler’ dan kepak pada sayap pesawat. Bunyi enjin pesawat semasa berlepas juga dianggap sebagai sesuatu yang “memuaskan”.

Sejak detik itu, hasrat yang mendalam muncul, dan Mohd Anaqi bersumpah untuk menjadi seorang juruterbang.

“Selepas percutian itu, saya memberitahu ibu bapa saya, ‘Mummy, Daddy, boleh saya menjadi seorang juruterbang satu hari nanti?’,” kata Mohd Anaqi kepada BERITA Mediacorp, sambil menambah bahawa kedua orang tuanya sangat menyokong cita-citanya dan memberikan sokongan penuh.

Filem-filem bertemakan penerbangan seperti ‘Top Gun: Maverick’ dan ‘Air Force The Movie: Selagi Bernyawa’ turut meningkatkan semangatnya untuk mengejar impian tersebut.

BAGAIMANA MUDA-MUDA BOLEH JADI JURUTERBANG?

Mohd Anaqi kemudian memutuskan untuk menangguhkan pengajian atau mengambil ‘gap year’ selepas menamatkan peperiksaan GCE Peringkat ‘O’. Beliau menyertai Program Juruterbang Rekreasi yang dijalankan oleh akademi penerbangan Aeroviation berpangkalan di Singapura. Mohd Anaqi mula menghadiri kelas teori di Singapura pada Januari 2023 dan melibatkan diri dalam latihan simulator pada Mei 2023.

Pada bulan Julai 2023, Mohd Anaqi berangkat ke Adelaide, Australia untuk menjalani latihan simulator dan kursus amali selama sebulan. Setelah lima hari di Adelaide, Mohd Anaqi diberi kebenaran untuk menerbangkan pesawat secara solo, sesuatu yang tidak dijangka baginya.

“Semasa menerbangkan pesawat secara solo, dalam fikiran saya hanya ada satu petikan dialog dari filem ‘Top Gun: Maverick’ – iaitu ‘Don’t think just do’ (Jangan fikir, lakukan sahaja). Selepas selesai lakukan penerbangan tiga pusingan, saya rasa sangat bangga dengan diri saya.

“Ini suatu perkara luar biasa yang pernah saya lakukan kerana saya mengimpikan detik itu sejak saya mendaftar ke sekolah penerbangan,” kongsi Mohd Anaqi.

APA ITU JURUTERBANG REKREASI?

Seorang juruterbang rekreasi boleh menyewa pesawat atau menerbangkan pesawat mereka sendiri pada bila-bila masa untuk menikmati pemandangan dan menimba pengalaman. Walau bagaimanapun, mereka hanya dibenarkan membawa seorang penumpang kerana pesawat untuk tujuan rekreasi adalah pesawat ringan dengan hanya dua tempat duduk.

Lesen penerbangan rekreasi Mohd Anaqi juga hanya membenarkan beliau terbang sejauh 25 batu nautika dalam kawasan lapangan terbang.

“Apabila saya terbang buat kali pertama, pesawat yang saya naik itu ringan dan cuaca pun bagus jadi semasa saya mendarat, ia amat lancar,” ujar Mohd Anaqi.

Jenis pesawat yang dapat diterbangkan oleh Mohd Anaqi termasuk Jabiru 120 dan Jabiru 160 yang ditawarkan oleh sekolah penerbangan beliau, dan juga pesawat rekreasi lain seperti Tecnam P92.

BERAPA YURAN PERLU DIBAYAR?

Mohd Anaqi memberitahu BERITA Mediacorp, yuran yang perlu dibayar untuk mendapatkan lesen penerbangan rekreasi adalah S$12,000. Sebanyak S$5,000 untuk yuran kelas teori dan latihan simulator di Singapura, dan S$7,000 lagi untuk latihan di Australia termasuk penerbangan dan penginapan.