Dynas Mokhtar berputih mata apabila hampir semua wang simpanan

Pelakon Dynas Mokhtar berputih mata apabila hampir keseluruhan wang di dalam akaun simpanannya lesap.

Menerusi hantarannya di Instagram, Dynas atau Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 41, menyedari perkara tersebut semasa ingin membuat pembayaran gaji pengurusnya.

“Saya hampir kehilangan semua duit saya. Beberapa hari lalu semasa saya pulang dari menjalani penggambaran saya nak bayar gaji pengurus saya.

“Masa itulah saya sedar hampir kesemua duit saya hilang. Saya ada akaun semasa, kad debit tetapi tiada kad kredit sebab saya ingat kad debit lebih selamat sebab tak nak berhutang,” katanya terkilan.

Kata Dynas, dia mendapati terdapat transaksi wang yang menggunakan nilai mata wang asing selepas membuat semakan penyata akaun.

“Bila saya semak penyata bank saya terdapat pemindahan wang yang pelik. Saya tak boleh kongsi lebih lanjut kerana masih dalam siasatan.

“Saya sudah buat laporan polis, ramai yang bantu ketika ini. Tolong doakan saya dapat kembali duit saya,” ujarnya.

Sementara itu, dia turut berpesan kepada orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam menyimpan wang.

Malah, dia menyatakan rasa kecewa dengan keselamatan menyimpan wang dengan perubahan zaman yang semakin moden.

“Saya tak mahu perkara ini terjadi kepada orang lain. Sekarang ini bukan hanya klik pada pautan saja tapi nombor pada kad kredit pun kena berhati-hati.

“Saya sarankan untuk tidak letak duit yang banyak dalam kad debit sebaliknya simpan di tempat lebih selamat.

“Kalau orang klon awak punya kad, habislah simpanan tu dan itu sahaja awak ada. Konon tak nak berhutang tapi semua duit tunai hilang.

“Saya pun tak tahu apa yang selamat sekarang. Kita sekarang menuju ke zaman tanpa tunai, semuanya atas talian tapi selamat ke?,” luahnya.