Isteri sarat hamil anak pertama, suami maut selepas jatuh dari ketinggian 32 meter ketika bekerja

TANDA pagar (hashtag) #JusticeForAhmadYusof dapat dilihat di media sosial selepas tularnya kisah seorang pekerja yang maut di sebuah kilang pada awal pagi Khamis.

Menerusi hantaran Facebook, seorang individu mendakwa mangsa, Ahmad Yusof terkorban selepas terbabit kemalangan di sebuah kilang di Banting, Selangor.

Apa yang lebih menyedihkan, individu itu berkata isteri Allahyarham kini sedang sarat mengandung dan pasangan berkenaan sedang menanti kelahiran cahaya mata yang pertama.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga arwah. Semoga ada keadilan untuk arwah. Kilang di Bandar Mahkota, Banting, Selangor tak nak bertanggungjawab atas kematian arwah.

“Tolong viralkan. Arwah mempunyai isteri yang tengah sarat mengandung anak pertama mereka,” ujar individu itu.

Dalam hantaran sama, individu itu turut berkongsi kronologi kejadian dan mendakwa pihak kilang cuba mengalihkan mangsa supaya kes dapat ditutup serta merta.

Dakwanya lagi, Ahmad Yusof tidak menghembuskan nafas terakhir di hospital, sebaliknya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Arwah sedang menjalankan pembersihan di lantai atas (belting) dengan ketinggian 32 meter. Waktu pembersihan, arwah tersangkut di belting, tertarik dan menyebabkan arwah jatuh dan meninggal di tempat kejadian.

“Pihak kilang tidak mahu bertanggungjawab lalu menyuruh dan memaksa pekerja yang lain untuk mengangkat arwah dan dialihkan ke tempat lain supaya kes ini dapat ditutup dengan serta merta. Arwah dihantar ke hospital menggunakan van putih.

“Saya mendapati cerita arwah masih lagi hidup sewaktu di hospital itu hanya cerita yang tidak betul semata-mata untuk menutup kes di tempat kejadian, report mengatakan arwah meninggal di jalan,” dakwanya lagi.

Selain Facebook, kisah mengenai kematian pemuda itu turut tersebar menerusi laman X dan TikTok sehingga meraih perhatian netizen yang mahu arwah diberikan keadilan sewajarnya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *