‘Jika saya kekal berniaga, Aset saya ada RM50 Billion’ – Tun Daim

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mendakwa beliau adalah seorang ahli perniagaan yang kaya dan berjaya, sebelum menyertai politik dan menjawat jawatan awam lagi.

Menurut Daim, jika beliau kekal dalam perniagaan dan tidak melakukan apa-apa untuk mengembangkan asetnya secara aktif, nilai pegangan saham cair miliknya sahaja akan bernilai lebih RM50 bilion hari ini.

“Itu kos peribadi saya hari ini dalam keputusan untuk menyertai kerajaan…keputusan saya menyertai kerajaan dan berkhidmat kepada negara mendatangkan kerugian kewangan yang besar kepada diri saya dan keluarga saya

“Pembabitan saya dalam perniagaan menjadi subjek beberapa buku dan artikel, bahkan sebelum saya dilantik sebagai Menteri.

“Tajuk utama pelantikan saya menyatakan “Malaysia’s New Finance Minister – Daim Zainuddin – The Quiet Millionaire” (Sunday Times, 12 Ogos 1984); “Tycoon Daim Takes Finance – Millionaire entrepreneur Daim Zainuddin,45, has been catapulted into the Cabinet as Finance Minister” (The Star, 15 Julai 1984),” katanya.

Daim berkata demikian melalui afidavit sokongan yang dikemukakan beliau dan keluarga dalam permohonan mereka untuk memohon kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap mereka.

Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, berkata pada atau sekitar 1969, beliau menceburi bidang perniagaan dan mengasaskan bersama rakan kongsi lain, Syarikat Maluri Sdn Bhd, yang terbabit dalam pembangunan tanah.

Bekas Ahli Parlimen Merbok itu berkata, syarikat itu bertanggungjawab membangunkan perbandaran yang dikenali sebagai Taman Maluri dan Taman Bukit Maluri di Kuala Lumpur, dengan penilaian hari ini bernilai lebih daripada RM26 billion.

Daim berkata, beliau juga pemilik Malaysian French Bank, dan kemudian UMBC (kini RHB) dan mempunyai kawalan serta kepentingan besar dalam banyak syarikat induk seperti SimeUEP (Sime Darby sekarang), Guthrie, TV3, Maybank, Consplant, Cold Storage dan Nestle Malaysia.

Katanya, 10 peratus kepentingan beliau dalam Nestle Malaysia hari ini bernilai kira-kira RM3 bilion.

“Sebelum menyertai Kabinet saya diberitahu boleh memindahkan semua pelaburan saya ke dalam suatu amanah buta dan saya bersetuju. Namun, kira-kira setahun kemudian, Kabinet membuat suatu panduan bahawa saya perlu melikuidasi pelaburan saya dalam syarikat induk dan UMBC.

“Pada masa itu, aset cair saya berjumlah kira-kira RM750 juta (AS$250 juta). Sekiranya saya telah meletakkan jumlah itu ke dalam suatu dana indeks S&P 500 pada tahun 1984, nilai hari ini akan melebihi RM42 bilion,” katanya.

Daim berkata, pada Februari tahun lalu, beliau memberikan kenyataan, kepada SPRM tetapitidak mendengar khabar daripada agensi itu lagi sehingga Jun 2023.

Beliau berkata, walaupun Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dinamakan dalam Kertas Pandora, mereka tidak disiasat oleh SPRM, dan tiada sebarang tindakan diambil terhadap mereka.

Katanya, empat bulan selepas pernyataan direkodkan, iaitu pada 7 Jun 2023, satu Notis SPRM menurut Seksyen 36 (1)(a) Akta SPRM dikeluarkan kepada beliau dan keluarga yang memerlukan maklumat semua aset dan sumber pendapatan yang dikeluarkan dari Malaysia dari tahun 1997 hingga kini, perlu diberikan dalam tempoh 30 hari

Menurut Daim, notis itu dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, di mana beliau mempunyai “sebab munasabah” untuk mempercayai bahawa kesalahan bagi suapan di bawah Seksyen 23 SPRM Akta telah dilakukan, berdasarkan siasatan mengenai ‘Aduan Yang Tidak Didedahkan’.

Katanya, pada tarikh sama, Azam juga menyebabkan SPRM mengeluarkan notis kepada mereka menurut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram, 2001 (“AMLA”),yang membekukan akaun bank peribadi dan akaun bank syarikat mereka.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *