Kenapa nak ‘Goyang’ ?

Kuala Lumpur: Seorang pemimpin Perikatan Nasional (PN) mempersoal, mengapa Kerajaan Perpaduan perlu bimbang dengan Langkah Dubai sedang mereka mengaku memiliki sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, turut menempelak pihak yang menuduh pemimpin BERSATU dan PAS mendalangi gerakan itu, kononnya ada berusaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan sudah memiliki majoriti dua pertiga, apa nak dibimbangkan?

“Kalau ikutkan, pimpinan ke Makkah lagi ramai terutama pada musim cuti (sekolah) ini. Tetapi tak ada pula ditimbulkan Langkah Makkah.

“Jadi tak perlulah mereka-reka cerita yang bukan-bukan, semata-mata kerana ada beberapa pimpinan berada di Dubai.

“Ia akan hanya menimbulkan pelbagai spekulasi. Lebih baik tumpu kepada permasalahan rakyat bahkan bahkan banjir pun belum selesai lagi,” katanya kepada NSTP hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas desas-desus berlaku Langkah Dubai, yang didakwa digerakkan oleh pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan, dengan matlamat sama iaitu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Perkara itu didedahkan Timbalan Ketua Pengarah (Komunkasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop.

Selain pemimpin PN, Langkah Dubai juga didakwa disertai tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *