Pegawai polis berpangkat Inspektor antara ditahan PDRM

Seorang pegawai polis antara tujuh ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes penculikan seorang lelaki warga Bangladesh dalam kejadian di Bandar Seri Sendayan di Seremban, Negeri Sembilan, minggu lalu.

Mangsa yang juga seorang ahli perniagaan diculik kerana dikatakan mempunyai hutang RM70,000 berhubung satu urusan imigresen, menurut laporan New Straits Times (NST) Online hari ini.

Pegawai terbabit yang difahamkan berpangkat inspektor dan bertugas di sebuah negeri, dikatakan bersubahat membantu enam suspek lain yang juga warga Bangladesh, termasuk dua yang menculik mangsa pada 10 Januari lalu.

NST Online yang memetik sumber polis, melaporkan kejadian culik itu dilaporkan kepada pasukan keselamatan berkenaan selepas adik mangsa yang tinggal di ibu negara gagal menghubungi abangnya sebelum dia menerima maklumat tentang penculikan itu.

Difahamkan, penculik juga turut mencederakan mangsa dan menuntut wang tebusan RM25,000 untuk pembebasan ahli perniagaan berkenaan.

Bertindak atas laporan adik mangsa, sepasukan polis melakukan serbuan di sebuah lokasi dan berjaya menyelamatkan lelaki itu, manakala inspektor berkenaan yang bertugas di Perak ditahan di pejabatnya pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe ketika dihubungi, berkata kesemua tujuh suspek kini ditahan reman untuk siasatan.