Ramai wanita Kelantan buat tahi lalat ‘pemanis’, kekal hingga 6 bulan.

SELEPAS sulam bedak dan tatu alis kening menjadi perhatian golongan wanita, terbaharu hangat pula dengan promosi servis melukis tahi lalat ‘pemanis’ di laman sosial.

Menerusi video yang tular di laman X dan TikTok, pelanggan hanya dikenakan caj serendah harga RM30 untuk membuat tahi lalat palsu pada mana-mana bahagian wajah mereka.

Difahamkan tahi lalat tersebut mampu bertahan sehingga enam bulan kerana sifatnya yang seakan-akan tatu.

Dalam satu video, kelihatan seorang pelanggan berbaring sambil sebutir tahi lalat dilukis di bawah matanya dengan menggunakan dakwat hitam.

Dikatakan servis tahi lalat pemanis tersebut dijalankan di sebuah daerah di Kelantan.

Video tersebut mencetuskan reaksi pelbagai daripada warga maya, dengan rata-ratanya mempertikaikan hukum melakukan tahi lalat palsu.

Ini kerana dikhuatiri sifatnya yang tidak telus air wuduk kerana menyerupai tatu.

Bagaimanapun, perbuatan mencacah tatu dijelaskan hukumnya sebagaimana yang dipetik daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan.

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Allah SWT melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu. Orang yang mencabut bulu mata dan orang yang diminta cabut bulu matanya. Orang yang menjarangkan giginya demi kecantikan sehingga merubah ciptaan Allah SWT”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru, sebagai umat Islam, kita dilarang melakukan perbuatan yang jelas haram hukumnya serta berdosa besar, terutama untuk tujuan kecantikan semata-mata.

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan mereka yang mendapat rahmat Allah SWT.

Tags:

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *