Salah pilih mangsa, lelaki teruk dibelasah selepas cuba rogol anak bekas jaguh Muay Thai

SEORANG lelaki yang cuba merogol seorang gadis teruk dibelasah oleh bapa mangsa yang merupakan bekas peninju Muay Thai.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di wilayah selatan Songkhla, pada awal pagi Khamis.

Mangsa, Parichart Chimlongdam, 18, memberitahu Channel 7 bahawa kejadian itu berlaku pada pukul 2 pagi, kira-kira sejam selepas dia tertidur.

Menurut mangsa, dia hanya tersedar selepas merasakan seseorang menyentuhnya dan melihat seorang individu yang tidak dikenali berada di atas katilnya.

Parichart berkata, dia menyangka dia bermimpi tetapi cepat-cepat menarik diri dan menjerit meminta tolong.

Lelaki itu berlari keluar dari bilik tidurnya tetapi tidak berjaya melarikan diri daripada bapanya, Sanoe Chimlongdam, 47 tahun, yang bergegas keluar dari bilik tidur.

Bercakap kepada Channel 7, Sanoe berkata, dia merupakan bekas peninju dan menggunakan kemahirannya pada suspek.

Suspek tidak dapat mempertahankan diri, lalu Sanoe mengikat tangan dan kakinya sebelum menghubungi polis.

Pada mulanya Sanoe mahu mengheret suspek di sepanjang jalan di hadapan rumahnya dengan mengikatnya pada motosikalnya, namun dihalang oleh anak perempuannya.

Susulan tindakan kasar terhadap suspek yang dipaparkan di media sosial, Sanoe menegaskan tingkah lakunya adalah wajar. Jika dia tiada di rumah pada malam kejadian, suspek mungkin melakukan serangan seksual.

Sementara itu, suspek ditahan dan berhadapan dengan dua pertuduhan.

Channel 7 melaporkan Sanoe memulakan kerjaya tinju profesionalnya pada usia sembilan tahun dan mengambil bahagian dalam lebih 100 pertarungan. –