Tarif Air Pula Dinaikkan bermula 1 Februari, Alhamdulillah rakyat makin susah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Labuan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

Pelarasan tarif air domestik itu melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Pelaksanaan pelarasan tarif air ini adalah berdasarkan keperluan dan permintaan kerajaan negeri,namun, kerajaan Persekutuan melalui SPAN akan memantau secara dekat bagi memastikan penambahbaikan perkhidmatan air dilaksanakan selaras dengan kenaikan tarif berkenaan.

Menurut SPAN, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.

“Kenaikan ini masih rendah dan tidak dapat menampung kos sebenar penyediaan perkhidmatan bekalan air sebanyak RM1.75 bagi setiap meter padu berdasarkan rekod sebenar 2022,” kata SPAN dalam kenyataan yang diedarkan.

SPAN berkata, pelarasan tarif air dilaksanakan susulan operator air di negeri-negeri menghadapi beberapa kekangan dan cabaran dalam menyampaikan perkhidmatan pembekalkan air berkualiti kepada pengguna.

“Antaranya kualiti air tidak terawat tidak memuaskan, kadar air tidak berhasil (NRW) tinggi, lambakan paip usang melebihi 30 tahun, Loji Rawatan Air (LRA) melebihi kapasiti, hutang tertunggak tinggi dan pendapatan yang tidak dapat menampung kos operasi,” ujar SPAN.

Justeru, SPAN menyatakan, pelarasan tarif air yang mencerminkan kos bekalan air sangat penting bagi membolehkan operator air meningkatkan tahap perkhidmatan dalam membekalkan air yang berkualiti secara berterusan.

“Melalui semakan tarif ini, operator air lebih bersedia untuk membuat pelaburan berterusan bagi membangunkan infrastruktur sistem bekalan air seperti membina atau menaik taraf loji rawatan air, membuat penggantian paip usang, melaksanakan penyenggaraan secara berkala dan menangani aduan dengan lebih cekap demi menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan air dan sekali gus memenuhi ekspektasi pengguna,” jelas SPAN.

SPAN turut memaklumkan, pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati oleh rakyat.

“Justeru, pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil air dalam julat RM1.60 sen hingga RM8.00 sebulan atau 5 sen hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan.

“Pada masa yang sama, pengguna kategori bukan domestik akan mengalami kenaikan bil dalam julat RM0.40 hingga RM2.00 sebulan atau 1 sen hingga 7 sen sehari bagi penggunaan bulanan sebanyak 20 meter padu hasil daripada pengenaan caj elektrik.

“Caj elektrik yang dikenakan adalah pada kadar yang sama untuk semua kategori pengguna di mana kadar tersebut adalah berbeza-beza mengikut negeri iaitu dalam julat 2 sen hingga 10 sen bagi setiap meter padu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Bagaimanapun, SPAN berkata, bagi meminimumkan impak kenaikan ke atas bil air bulanan rakyat, operator bekalan air di negeri masing-masing disaran untuk meneruskan inisiatif sedia ada iaitu memberikan bantuan kepada pengguna domestik secara bersasar seperti pemberian rebat kepada golongan B40.

Sehubungan itu, SPAN menyeru semua pengguna untuk bersama-sama mengamalkan penggunaan air secara berhemat.

“Antara langkah-langkah yang boleh diamalkan termasuk menggunakan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air oleh SPAN, memeriksa dan membaiki sebarang kebocoran paip dan pili air di premis masing-masing dan memasang sistem penuaian air hujan dan penggunaan air kitar semula sebagai sumber air alternatif untuk kegunaan bukan minuman,” kata SPAN lagi.