Tindakan Korepal Mazlan Dipuji, Rupanya Kes Cubaan Membu nuh

Georgetown: Tentera Darat Malaysia (TDM) menyifatkan kepantasan anggotanya yang bertugas di Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) menyelamatkan dua mangsa terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di sini, wajar dijadikan contoh.

TDM menerusi kenyataannya berkata, ketika kejadian, Koperal Mazlan Abdul Rahman melalui jambatan berkenaan dan terjun sejurus terdengar jeritan meminta tolong dari bawah jambatan.

Beliau turut memberi bantuan pernafasan Cardiopulmunory Resuscitation (CPR) kepada mangsa selepas merapat ke bot berhampiran.

“Tindakan pantas berkenaan berjaya menyelamatkan nyawa mangsa orang awam yang dipercayai terjatuh ke dalam laut.

“Sikap berani dan pantas yang ditunjukkan oleh Mazlan wajar dijadikan contoh oleh seluruh warga TDM,” menurut kenyataan di Facebook, hari ini.

Semalam, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai Shahrul Munawer Taharen berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.49 petang berhubung lelaki dan wanita terjatuh di KM2.8 jambatan berkenaan menghala ke Perai, di sini.

Kedua-duanya dikatakan bertelingkah di atas jambatan berkenaan sebelum kedua-duanya terjatuh ke laut.

Kes pasangan jatuh Jambatan Pulau Pinang disiasat sebagai cubaan bunuh

Polis mengklasifikasikan kes pasangan terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang, di sini, semalam sebagai cubaan bunuh.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, hasil siasatan awal terhadap wanita tempatan berusia 40 tahun itu mendakwa dia ditolak lelaki berkenaan ke laut.

Menurutnya, setakat ini keterangan lelaki berusia 37 tahun itu belum diambil kerana masih dirawat di hospital susulan kecederaan di kepalanya.

“Kita percaya sebelum itu berlaku pertengkaran di tempat kejadian dan wanita terbabit mendakwa dia ditolak lelaki berkenaan.

“Justeru, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, hari ini.

Terdahulu, Kok Chin ditemui ketika Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Timur Laut kepada Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid.

Mengulas lanjut Kok Chin berkata, siasatan juga mendapati lelaki berkenaan adalah pegawai kanan sebuah badan beruniform yang bertugas di luar Pulau Pinang.

“Dakwaan pasangan itu menjalinkan hubungan cinta masih dalam siasatan dan kita akan keterangan serta pengesahan saksi lain,” katanya.