(VIDEO) Tular satu video wanita berdepan detik cemas apabila hanyut bersama kereta di dalam longkang

Ia selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang yang dilimpahi air banjir dan kejadian tersebut berlaku di KM 42.5 , Lebuhraya Johor Bahru – Mersing, hari ini.

Lelaki itu mempertaruhkan nyawanya dengan terjun ke dalam longkang untuk menyelamatkan seorang daripada dua wanita yang bergelut untuk memegang bahagian belakang Perodua Myvi melawan arus deras di dalam longkang yang dipenuhi air.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora mengesahkan kejadian itu berlaku pada 9.20 pagi hari ini.

Kejadian berlaku apabila pemandu Myvi berusia 37 tahun itu hilang kawalan dan terbabas sebelum mendarat ke dalam longkang, ketika dia dan penumpangnya berusia 43 tahun, menuju ke Kota Tinggi, dalam keadaan hujan lebat.

Sebelum ini, rakaman berdurasi 14 saat seorang lelaki melompat ke dalam longkang yang penuh dengan air yang mencurah-curah untuk menyelamatkan wanita itu menjadi viral.

Rakaman yang dimuat naik di laman Facebook Orang Kota-Tinggi itu merakamkan seorang wanita dalam kesusahan, dihanyutkan arus deras.

Beberapa saat kemudian, seorang lelaki melompat dan membantu wanita itu ke tambak longkang, manakala kereta itu dihanyutkan.

Hussin berkata pemandunya terselamat, manakala penumpangnya cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi.

“Kedua-dua mereka sangat terkejut dengan kejadian itu tetapi mujur tiada apa yang tidak diingini berlaku,” kata Hussin.

Myvi itu telah dihanyutkan, dan masih belum ditemui dan penyelamat yang tidak dikenali itu tidak membuat laporan.

Difahamkan dia juga terlepas daripada kecederaan, dan segera meninggalkan tempat kejadian, selepas aksi heroiknya itu.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *