Wartawan hiburan kritikal di London meninggal dunia

WARTAWAN hiburan Fiza Kamarudin disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak di Hospital Charing Cross, London pada Khamis.

Berita itu dimaklumkan oleh sahabat kepada Fiza atau Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, yang menerima khabar duka itu daripada keluarga arwah.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 11.30 malam waktu Malaysia.

Adik Allahyarham, Siti Nor Hazlinda Kamarudin, 39, berkata, pendarahan otak itu disebabkan sel kanser yang sudah merebak ke seluruh anggota badan hingga mengakibatkan kakaknya rebah di lapangan terbang.

Menurut Hazlinda lagi, percutian ke London adalah hajat terakhir arwah bagi meraikan kedua anaknya, Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8.

“Sebelum ini kami sekeluarga memberi nasihat agar fikir dahulu sebelum ke sana. Tetapi dia cakap dah janji nak membawa anak-anaknya bercuti.

“Dia memang nak menggembirakan mereka. Malah, itu juga adalah hajat terakhirnya untuk bersama suami dan anak-anak,” katanya.

Sebelum ini, Fiza disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga pada Julai 2018.

Sementara itu, Hazlinda berkata, abang iparnya, Mohd Roshdi Ramli sedang dalam proses perbincangan dengan kedutaan Malaysia di London untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.

“Kami baru dapat bercakap dengan suami arwah. Keputusan membawa pulang jenazah masih dalam proses perbincangan terutama membabitkan kos. Suami arwah sedang berhubung dengan pihak kedutaan Malaysia di sana.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sudah membantu termasuk memberikan sumbangan kepada keluarga arwah. Doakan perjalanan terakhir kakak saya dipermudahkan,” ujarnya.

Fiza sebelum ini dilaporkan rebah secara tiba-tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London Selasa lalu ketika menanti penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

Suami Allahyarham kemudiannya membawanya ke hospital berkenaan bagi menerima rawatan.

Bagaimanapun keadaan arwah dilaporkan kritikal sejak dimasukkan ke hospital.

Allahyarham yang juga editor di portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media berkunjung ke London selepas terpilih menerima tajaan pakej melancong bersama suami dan dua anak mereka.

Fiza sekeluarga berlepas ke negara berkenaan pada pertengahan Disember lalu dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 27 Disember lepas.

Fiza sebelum ini pernah berkhidmat di akhbar Sinar Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan portal Astro Gempak.

Dalam perkembangan lain, keadaan Fiza yang dilaporkan media turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang meminta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyalurkan bantuan kewangan segera kepada suaminya.

Bantuan tersebut menerusi Tabung Kasih Hawana yang merupakan salah satu inisiatif pihak kementerian bagi membantu wartawan veteran dan bekas pengamal media yang uzur serta berdepan kesukaran hidup.

Ia dilancarkkan sempena Sambutan Hari Wartawan Malaysia (Hawana) 2023 pada Mei lalu.

Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) juga melancarkan tabung kecemasan bagi membantu memudahkan urusan Fiza yang masih menerima rawatan di London.

Setakat ini, WHAM berjaya mengumpul sekitar RM23,000 sejak tabung itu dilancarkan.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *